Tuesday 29 November 2016

INDUSTRI PELANCONGAN (AZLINA BINTI HASHIM 242193)

Pengenalan – Apa itu Industri Pelancongan?

Pelancongan adalah sesuatu aktiviti lawatan atau menetap di sesuatu tempat yang lain daripada tempat tinggal dalam tempoh kurang daripada 1 tahun berturut-turut sama ada atas urusan kerja, mengisi masa lapang mahupun urusan-urusan yang lain. Kebanyakan individu menganggap kegiatan pelancongan ini sebagai sesuatu aktiviti yang mewah, yang hanya sesuai untuk individu yang berkemampuan dari segi masa dan wang. Industri pelancongan merupakan industri yang sangat kompetitif dan memerlukan sesebuah tempat pelancongan itu untuk sentiasa memenuhi keperluan dan keinginan pelancong. Hal ini kerana, fokus utama industri pelancongan ini adalah kepuasan, keseronokan, dan keselamatan pelancong. Kenyataan ini juga disokong oleh Matthieson dan Wall, menurut mereka, pengabungan waktu senggang, ekonomi yang baik, serta kemudahan pengangkutan yang sempurna akan menjanjikan pelancong yang ramai.
Di Malaysia, industri pelancongan merupakan penyumbang ketiga terbesar untuk pendapatan negara dalam pertukaran wang mata asing. Malaysia merupakan destinasi pelancongan tropika yang indah yang kaya dengan pelbagai budaya warisan. Malaysia juga terkenal sebagai destinasi hub halal dan menjadi tumpuan pelancong asing terutamanya daripada Asia Barat, Timur Tengah, Eropah, Amerika, dan Asia Tenggara. Industri pelancongan di Malaysia bukan sahaja dapat menarik pelancong tempatan malah berjaya menarik perhatian pelancong antarabangsa. Lebih membanggakan, Malaysia telah tersenarai ditangga kesembilan dalam senarai UNWTO (United Nations World Tourism Organization) sebagai 10 negara yang mempunyai bilangan pelancong terbanyak pada tahun 2010.

Tahap Pembangunan Industri Pelancongan

Pelancongan merupakan industri perkhidmatan utama yang mendatangkan keuntungan besar kepada negara dalam bentuk tukaran asing serta memasyhurkan Malaysia di mata dunia. Pada ketika zaman pasca kemerdekaan negara Malaysia, industri pelancongan kurang di beri perhatian atau penekanan oleh pihak kerajaan kerana lebih menumpukan terhadap pembangunan infrastruktur negara dan kestabilan negara. Pada awal tahun 80-an, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah ditubuhkan dan sektor pelancongan negara dapat dilihat semakin berkembang pada ketika itu. Kejayaan pembangunan dalam industri pelancongan dapat dilihat melalui kejayaan Tahun Melawat Malaysia 1990, dimana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus meningkat walaupun negara telah mengalami kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 1998.
Namun begitu, industri pelancongan di Malaysia telah sedikit sebanyak terjejas akibat beberapa insiden buruk yang telah menimpa negara terutamanya pada tahun 2014 iaitu pada dua tahun yang lalu. Sebagai contoh, insiden kehilangan pesawat Malaysian Airlines Systems (MAS) MH370 yang telah berlepas dari negara Chinamasih menjadi misteri sehingga ke hari ini. Terdapat juga insiden pesawat MH17 yang telah ditembak dan terhempas jatuh di timur Ukraine. Insiden ini telah meragut nyawa 298 penumpang dan anak kapal. Selain itu, terdapat juga insiden kes penculikan warga asing di Pulau Mabul Semporna, Sabah yang didalangi oleh militan bersenjata. Kebanyakan pelancong dari negara luar berasa tidak selamat dan terancam untuk datang ke Malaysia. Hal ini justeru menyebabkan industri pelancongan di Malaysia sedikit terjejas dan menurun jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang lepas.  Walaupun begitu, kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan dan langkah yang sewajarnya untuk mengatasi permasalahan tersebut. Antaranya adalah dengan wujudnya ‘East Sabah Security Command’ (ESSCOM) yang merupakan antara langkah drastik bagi mengawal isu keselamatan di perairan negara dalam memastikan industri pelancongan, perniagaan dan keselamatan awam dan pelancong sentiasa terpelihara.
Fenomena kejatuhan nilai wang Ringgit Malaysia (MYR) berbanding Dollar Amerika Syarikat (USD) secara berterusan pada ketika ini telah menimbulkan keresahan kepada ramai pihak. Dengan kadar tukaran nilai Ringgit berbanding Dollar, nilai wang ringgit Malaysia semasa penulisan ini sedang dibuat, adalah sebanyak 4.4587 (28 November 2016). Kejatuhan nilai ringgit ini sebenarnya adalah suatu fenomena antarabangsa yang berlaku disebabkan oleh krisis ekonomi dunia. Terdapat lebih kurang 174 matawang dunia telah mengalami kesan kejatuhan matawang termasuklah nilai ringgit Malaysia. Terdapat hanya 18 mata wang sahaja yang mengukuh selain nilai matawang dolar Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, nilai mata wang yang rendah juga sebenarnya memberikan banyak kebaikan kepada negara. Sebagai contoh, dengan nilai mata wang yang rendah, pasaran eksport produk negara juga menjadi lebih murah berbanding negara-negara yang stabil nilai mata wangnya. Hal ini secara langsung telah membuka peluang kepada negara kita untuk bersaing di dalam pasaran eksport antarabangsa. Nilai mata wang yang rendah juga memberi kesan baik kepada industri pelancongan. Hal ini kerana, pelancong asing gemar untuk datang ke Malaysia untuk melancong dan berbelanja kerana mereka akan memperoleh wang pertukaran Ringgit Malaysia yang banyak. Di samping itu, kerajaan juga mengambil peluang daripada fenomena ini dalam merancakkan kemasukan modal daripada pemodal luar dengan menyusun beberapa pelan untuk mempromosikan sektor perlancongan Malaysia. Antaranya adalah seperti penghapusan caj permohonan visa kepada pelancong-pelancong asing.


Kepentingan dan Sumbangan Industri Pelancongan terhadap Pembangunan Ekonomi Negara
Dalam konteks dunia hari ini, pelancongan merupakan antara kegiatan ekonomi dan sosial yang telah menjadi semakin penting. Malah, terdapat beberapa buah negara di dunia kini telah memfokuskan untuk memajukan sektor pelancongan sebagai sektor utama bagi menjana pendapatan negara. Di Malaysia, sejak pengenalan Program Transformasi Negara (NTP), sektor pelancongan negara kini telah menjadi penyumbang ke enam yang terbesar kepada ekonomi negara. Kini, Malaysia tidak lagi hanya dikenali sebagai negara perantaraan Singapura dan Thailand. Industri pelancongan sememangnya banyak membantu meningkatkan ekonomi negara melalui pelbagai aspek. Antaranya adalah dari segi pertukaran mata wang asing. Melalui kedatangan pelancong asing, dapatlah sesebuah negara memperoleh kadar pulangan tukaran wang asing dengan mudah dan banyak. Tambahan lagi, dengan fenomena kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia pada ketika ini, semestinya kedatangan pelancong asing semakin meningkat. Setiap pelancong akan membawa mata wang asing dari negara mereka untuk berbelanja di negara kita dengan membayar tempat penginapan mereka, menggunakan kemudahan awam, membeli makanan, minuman dan sebagainya.
Seterusnya, sektor pelancongan juga secara tidak langsung dapat memajukan sektor perniagaan di Malaysia. Industri pelancongan merupakan antara industri yang memerlukan ramai tenaga kerja seperti pekerja hotel, pemandu pelancongan, pekerja kedai cenderamata, pekerja kedai kraftangan dan lain-lain lagi. Perkembangan industri pelancongan yang menggalakkan di negara kita ini, telah meningkatkan lagi permintaan tenaga kerja yang terlatih dan berpengalaman pada peringkat pengurusan dan penyeliaan, serta golongan pekerja mahir, mahupun separa mahir. Selain itu, industri pelancongan memberikan peluang perniagaan berangkai kepada rakyat. Pelancong asing yang datang ke Malaysia semestinya akan memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan, juru pandu pelancong dan pelbagai lagi perkhidmatan yang lain. Justeru, sektor pelancongan secara tidak langsung telah mewujudkan peluang perniagaan yang luas kepada usahawan tempatan. Perkembangan industri ini telah menjadi nadi kepada perkembangan pelbagai lagi sektor-sektor lain seperti sektor pengangkutan, makanan dan minuman, bunga-bungaan, kraf tangan, pertanian, dan juga penternakan. Malah, dengan wujudnya aktiviti-aktiviti perniagaan ini juga membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Hal ini mampu mengurangkan kadar pengganguran di negara kita dan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia. Pada masa yang sama, ekonomi negara juga akan terus membangun seiring dengan pembangunan sektor pelancongan ini.
Di samping itu, industri pelancongan turut mampu menarik lebih ramai pelabur asing. Kegiatan pelancongan yang aktif akan memudahkan kerajaan dalam menarik lebih ramai pelabur asing untuk menanam modal di negara ini. Sebagai contoh, setakat bulan Mac 2016 sahaja, Sabah telah menerima lima buah projek pelaburan yang bernilai RM1.69 billion dan telah menyediakan 3,907 peluang pekerjaan kepada rakyat.
Dalam industri pelancongan, pelabur bukan sahaja boleh mengeluarkan pelaburan untuk perkara yang berkaitan dengan sektor pelancongan sahaja seperti pengusaha hotel, pengusaha taman tema, pengusaha pusat beli-belah, dan sebagainya. Malahan, pelabur asing juga boleh mengeluarkan pelaburan untuk bidang yang tiada kaitan dengan sektor pelancongan seperti pengangkutan dan pembinaan. Dengan wujudnya pelaburan asing ini, kerajaan juga dapat mengelakkan pembaziran wang negara daripada digunakan untuk mengindahkan kawasan-kawasan pelancongan yang sememangnya akan menelan kos yang tinggi. Pengaliran wang Ringgit ke luar negara juga akan berkurangan kerana banyak barangan import telah digantikan dengan barangan tempatan. Sebelum ini, kebanyakan bahan mentah dari negara kita akan dieksport ke negara-negara maju dengan harga yang rendah. Kemudian, bahan mentah ini diproses menjadi barangan siap dan akan dijual semula ke negara kita dengan harga yang lebih tinggi. Dengan adanya kemasukan pelaburan asing ini, banyak modal dan kepakaran akan disalurkan ke kilang-kilang perusahaan tempatan dan seterusnya, bahan-bahan tempatan boleh diproses di kilang-kilang di negara kita sendiri. Dengan cara ini, harga dan penggunaan bahan mentah tempatan akan lebih terjamin dan menguntungkan. Jelaslah, kehadiran pelabur asing yang ramai dapat membantu meningkatkan lagi ekonomi negara kita.

Halangan dan Cabaran Industri Pelancongan
           
Tempat-tempat pelancongan di Malaysia telah dibuka dengan banyak seiring dengan perkembangan pesat industri pelancongan di negara ini. Namun begitu, memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak cabaran yang telah mahupun akan dihadapi oleh industri pelancongan di negara kita. Antara cabaran-cabaran tersebut termasuklah persaingan dengan sektor pelancongan dari negara-negara lain. Sebagai contoh, bukan negara kita sahaja yang mengalami kejatuhan nilai mata wang, terdapat juga negara-negara lain yang turut jatuh nilai mata wang negara mereka lalu mengambil peluang tersebut bagi mempromosikan sektor pelancongan masing-masing seperti yang kita lakukan. Oleh itu, kita haruslah ikhtiarkan pelbagai lagi idea menarik dalam mempromosikan industri pelancongan kita bagi menarik para pelancong luar ke negara kita.
            Selain itu, pencemaran alam sekitar juga merupakan antara cabaran industri pelancongan di negara kita. Keindahan alam semula jadi di tempat-tempat pelancongan di negara kita seperti Pulau Manukan, Kinabalu Park, Pulau Sipadan, Danum Valley dan Maliau Basin begitu mengagumkan para pelancong. Namun begitu, pelbagai jenis pencemaran alam sekitar akan timbul sekiranya perkembangan pesat industri pelancongan tidak terkawal dan terancang. Antara pencemaran tersebut adalah seperti peningkatan suhu dan tanah runtuh akibat penerokaan hutan yang berleluasa. Ekosistem hutan dan hutan paya bakau juga terjejas akibat pengeksploitasian oleh pihak-pihak tertentu untuk dijadikan lokasi pelancongan seperti yang telah berlaku di Pusat Peranginan Kundasang, Sabah. Di samping itu, lanskap fizikal sesebuah kawasan juga akan berubah dan akan memberi kesan untuk jangka masa yang panjang. Contohnya, pembinaan pangsapuri di kawasan Kota Kinabalu, Sabah telah mengubah lanskap hutan dan kawasan sekitarnya dan telah menyebabkan kawasan tadahan air di kawasan tersebut terjejas. Alam sekitar dan industri pelancongan sangat berkait rapat antara satu sama lain. Sekiranya alam sekitar terjejas, semestinya industri pelancongan juga akan terjejas. Sebagai contoh, perlombongan bauksit di beberapa kawasan di negara ini seperti di kawasan Pantai Batu Hitam, Balok dan Cherating telah mengurangkan sebanyak 20 peratus kehadiran pelancong ke hotel dan resort yang berdekatan dengan lokasi perlombongan tersebut kerana pengunjung khuatir akan kesan pencemaran perlombongan tersebut terhadap sumber makanan di kawasan itu.
            Seterusnya, industri pelancongan dan kestabilan politik juga amat berkait rapat antara satu sama lain. Politik yang tidak stabil semestinya akan menjejaskan imej negara. Para pelancong akan mengkhuatiri keselamatan mereka kerana tidak yakin dengan keselamatan mereka disebabkan imej buruk negara yang telah ditonjolkan, seterusnya akan berlakulah pengurangan jumlah pelancong ke negara kita. Selain itu, pelaburan dalam sektor pelancongan juga akan berkurangan disebabkan oleh keadaan politik yang tidak stabil. Hal ini kerana, para pelabur tidak yakin dan takut untuk mengeluarkan pelaburan di negara yang berisiko tinggi dan seterusnya akan memilih untuk mengeluarkan pelaburan di negara yang lain yang lebih stabil politiknya. Keadaan politik yang tidak stabil turut menyebabkan pembangunan negara menjadi tidak progresif dan perlahan. Misalnya, pembinaan kemudahan dan prasarana untuk para pelancong akan menjadi berkurang, manakala keadaan prasarana yang sedia ada pula akan dibiarkan begitu sahaja. Jelaslah, ketidakstabilan politik juga merupakan antara cabaran industri pelancongan di negara kita.


Sistem Sokongan oleh Pihak Kerajaan dan Swasta yang Ditawarkan untuk Pembangunan Industri Pelancongan

Sesebuah negara yang berjaya memanfaatkan keindahan panorama persekitaran, tinggalan sejarah, keunikan budaya, peluang pendidikan dan rawatan, serta penganjuran acara bertaraf antarabangsa akan berjaya menarik pelancong dengan kadar ketibaan yang tinggi dari seluruh pelosok dunia. Sejak tahun 1980an lagi, pihak kerajaan telah menunjukkan sokongan kepada industri pelancongan dengan wujudnya penubuhan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan pada tahun 1987. Pada bulan April 2004, Kementerian khas yang ditugaskan bagi mengurus semua hal-hal berkaitan pelancongan telah ditubuhkan dan dinamakan sebagai Kementerian Pelancongan Malaysia atau MoTour. Pada 15 Mei 2013, MoTour telah dinamakan semula sebagai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC). Perkembangan ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam mempromosikan industri pelancongan negara yang merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan negara. Antara sistem sokongan yang telah disumbangkan oleh kerajaan melalui MOTAC adalah program pelancongan, kursus berkaitan pelancongan, serta tabung dan insentif.  Antara program pelancongan yang ditawarkan adalah program Sukarelawan Pelancongan yang menggalakkan sukarelawan untuk terlibat dengan aktiviti pembangunan pelancongan. Program Pelancongan Pelajar juga ditawarkan bertujuan untuk memupuk budaya melancong ke tempat-tempat bersejarah, kebudayaan, dan eko-pelancongan dalam kalangan pelajar. Terdapat juga program Pelancongan Pendidikan yang bertujuan untuk menarik lebih ramai pelajar asing untuk menyambung pengajian di Malaysia.
Selain program pelancongan, kursus berkaitan pelancongan juga disediakan. Antara kursus tersebut ialah “We Are the Host (WATH)” yang bertujuan untuk melatih semua barisan hadapan yang bertugas dalam sektor pelancongan. Terdapat juga kursus “Eco-Host Malaysia” yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar. Seterusnya, terdapat juga kursus “Bot Pelancong” yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada pengendali untuk memberi tumpuan kepada aspek teknikal, keselamatan, pencegahan dan kaedah-kaedah pengendalian pelancong dan peralatan yang betul. Disamping itu, antara tabung dan insentif yang disediakan oleh kerajaan ialah Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan dan juga insentif Pengecualian cukai bagi Syarikat.
Pihak swasta juga telah memberikan sokongan yang baik kepada industri pelancongan negara kita. Antara usaha pihak swasta dalam memberikan sokongan kepada industri pelancongan adalah melalui syarikat penerbangan seperti Air Asia, Fire Fly, Malindo Air dan Rayani Air yang memberikan pakej tambang murah kepada para pelancong yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara. Para pelancong akan tertarik untuk melancong ke Malaysia dengan wujudnya pakej tambang yang murah. 
Pihak kerajaan dan pihak swasta juga telah saling bekerjasama dalam membangunkan produk-produk pelancongan baru di negara kita. Pelbagai aktiviti yang menarik telah diadakan oleh pihak kerajaan dan swasta seperti pameran kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Acara “Malaysian Kitchen” juga telah dianjurkan di Kota London bagi memperkenalkan kepelbagaian makanan tempatan kepada warga luar negara. Selain itu, acara-acara sepeti Pesta Buah-buahan Tempatan dan Pesta Flora juga telah dianjurkan bagi menggalakkan agro pelancongan. Pelancongan sukan juga digalakkan melalui penganjuran banyak acara sukan yang bertaraf antarabangsa seperti Formula One dan Tour De Langkawi. Disamping itu, Tourism Malaysia juga merupakan antara sokongan pihak kerajaan dan swasta dalam membangunkan industri pelancongan negara.
  
Langkah-langkah Untuk Mendorong dan Membangunkan Industri Pelancongan

Memandangkan Malaysia mempunyai potensi yang besar dalam industri pelancongan, inisiatif atau langkah-langkah yang efisien perlulah diambil dalam memajukan industri pelancongan di negara kita. Pihak kerajaan perlulah memperbanyakan lagi tempat-tempat pelancongan di Malaysia bagi menggalakkan lebih ramai pelancong antarabangsa datang ke negara kita. Manakala, lokasi pelancongan yang sedia ada perlulah sentiasa dipelihara dan dimajukan. Kebersihan juga patut diberi keutamaan kerana tempat-tempat pelancongan yang bersih juga merupakan suatu daya tarikan kepada para pelancong. Pembangunan sistem pengangkutan yang sistematik dan efisien juga merupakan antara langkah yang efektif untuk memajukan industri pelancongan negara kita. Dengan adanya sistem pengangkutan yang cekap, para pelancong akan berasa lebih selesa dan mudah untuk pergi ke sesebuah tempat tanpa perlu menghadapi banyak masalah. Di samping itu, kemudahan-kemudahan asas seperti kemudahan jalanraya, tempat makan dan minum, tandas awam dan sebagainya perlulah dimajukan agar industri pelancongan dapat berkembang dengan pesat.
          Bukan itu sahaja, kerajaan juga wajar menyediakan maklumat lengkap tentang destinasi-destinasi menarik yang terdapat di negara kita dan mempromosikan destinasi pelancongan kita kepada negara luar. Hal ini boleh dilaksanakan sama ada menerusi media cetak seperti risalah, buku, poster, majalah, dan akhbar ataupun media elektronik seperti radio dan televisyen. Di samping itu, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil berat bagi menjamin kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Orang awam juga perlu menjalankan peranan masing-masing bagi membangunkan industri pelancongan negara. Sikap ramah dan suka membantu pelancong haruslah diutamakan oleh rakyat Malaysia.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, industri pelancongan merupakan antara sektor yang terpenting yang menyumbang kepada pendapatan negara. Pembangunan industri pelancongan Malaysia pada masa ini sebenarnya berada di tahap yang baik meskipun pelbagai insiden negatif telah menimpa Malaysia beberapa tahun ini. Selain itu, industri pelancongan banyak memberi sumbangan dalam ekonomi negara. Misalnya, melalui pertukaran mata wang asing dan juga pelaburan asing. Walaubagaimanapun, memang tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa cabaran yang harus ditempuhi oleh industri pelancongan seperti cabaran persaingan negara luar mahupun cabaran ketidakstabilan politik negara. Selain itu, pihak kerajaan dan swasta telah bekerjasama meningkatkan dan membangunkan industri pelancongan negara melalui pelbagai penganjuran program yang mampu mengangkat imej negara. Pelbagai inisiatif boleh dilakukan untuk memajukan industri pelancongan di negara kita. Usaha yang holistik perlu dijalankan secara sistematik oleh semua pihak. Akhir sekali, diharapkan industri pelancongan Malaysia akan terus berkembang dan setaraf dengan negara-negara pelancongan yang lain.


Rujukan
1.    Apa itu Industri Pelancongan. (2015, October 24). Retrieved from https://mypersonallife2015.wordpress.com/category/kisah-kisah-teladan/apa-itu-industri-pelancongan/


2.    Cara Meningkatkan Industri Pelancongan Di Malaysia. (2016, July 25). Retrieved from http://www.ideaberita.com/2016/07/cara--langkah-meningkatkan-industri-pelancongan-malaysia.html

3.    Fauzi Masnan. (2016, April 5). Industri Pelancongan Semasa. Retrieved from http://sdrfauzie.blogspot.my/2016/04/industri-pelancongan-semasa.html

4.    Industri Pelancongan dan Kestabilan Politik. (2010, March 31). Retrieved from http://cikgurazak.blogspot.my/2010/03/industri-pelancongan-dan-kestabilan.html

5.    Kepentingan/Faedah/Kebaikan/Impak Industri Pelancongan Kepada Malaysia. (2015, April 17). Retrieved from http://bahasamelayusmktamanmegahria.blogspot.com/2015/04/kepentinganfaedahkebaikan-industri.html

6.    Kesan Kejatuhan Nilai Ringgit Malaysia. (2015, July 13). Retrieved from http://www.pelaburanemaspublicgoldmalaysia.com/kesan-kejatuhan-nilai-ringgit-malaysia/

7.    Mohd Saiful. (2016, June 13). Sistem Sokongan oleh Pihak Kerajaan dan Swasta yang Ditawarkan untuk Pembangunan Industri Pelancongan. Retrieved from https://mohsaifulblog.wordpress.com/2016/06/13/sistem-sokongan-oleh-pihak-kerajaan-dan-swasta-yang-ditawarkan-untuk-pembangunan-industri-pelancongan/


8.    Mustain Hassan. (2016, April 17). Sistem Sokongan oleh Pihak Kerajaan dan Swasta yang Ditawarkan Untuk Pembangunan Industri Pelancongan. Retrieved from http://mustainhassan.blogspot.my/2016/04/sistem-sokongan-oleh-pihak-kerajaan-dan.html

9.    Norhaspida Yatim. (2016, February 2). Bauksit Jejas Sektor Pelancongan. Retrieved from http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/bauksit-jejas-sektor-pelancongan-1.480631

10. Sabah Destinasi Pelaburan yang Digemari Pelabur Asing. (2016, August 9). Retrieved from



No comments:

Post a Comment