Wednesday 30 November 2016

E-DAGANG (FARAH DIANA RAHMAT 241944)

PENGENALAN

            Kemunculan internet di dunia telah mengubah seluruh aktiviti kehidupan manusia termasuk cara kita berbelanja. Ini kerana pada masa kini teknologi tidak boleh lagi diasingkan dari dunia perniagaan. E-Dagang adalah cara baru yang memudahkan pengguna disamping memberi peluang perniagaan yang luas kepada pengusaha. E- Dagang adalah merupakan perdagangan elektronik yang penggunaan rangkaian komputer di dalam aktiviti-aktiviti komersial. E-Dagang telah mengubah struktur, dan menyusun semula hubungan antara pembeli, pengusaha dan orang tengah. Malahan ianya mampu memberi keuntungan kepada banyak pihak seperti pihak bank, kad kredit dan syarikat penghantaran barang. Fenomena E-dagang atau perniagaan melalui internet merupakan revolusi baru dalam bidang keusahawanan. Kemajuan teknologi yang pesat dan membangun memberi impak maksima kepada industri perniagaan. E-dagang semakin mendapat sambutan apabila pelbagai aplikasi telah diperkenalkan untuk kemudahan perniagaan seperti Instagram, Facebook, Web-web E-Dagang yang mana merupakan pilihan pembeli pada zaman kini. E- Dagang adalah konsep perniagaan dalam talian yang menggunakan medium digital dan ianya lebih mudah dan cepat. Kemunculan internet telah membuka ruang kepada usahawan untuk menggunakannya dengan cara yang lebih kreatif dan inovatif. Konsep E-Dagang ini membuktikan bahawa perniagaan adalah cepat dan menguntungkan hanya di hujung jari sahaja pembeli dan pengusaha dapat berkomunikasi. Malahan iklan, maklumbalas dan pembayaran juga mudah dilakukan. Kemudahan dan kelebihan ini menjadi faktor utama untuk para pengguna memilih konsep E-dagang dalam berbelanja.

1.0 SEJARAH E- DAGANG

            Pada tahun 1969, Internet telah diperkenalkan di Amerika Syarikat, sejak itu perkembangan evolusi E-Dagang telah bermula. Pada awal kemunculan E-Dagang, ianya tidak digunakan secara meluas, hanya beberapa sektor tertentu menggunakan kemudahan ini. Pada ketika itu, perkembangan penggunaan telefon mudah alih, internet dan sebagainya belum menjadi trend masyarakat. Hanya golongan tertentu sahaja yang mempunyai kemudah tersebut. Pada tahun 1990an, perniagaan menggunakan internet telah berkembang dan mendapat tempat di hati pengguna. E-agang melalui beberapa fasa iaitu pada fasa pertama (1994-1997) E-Dagang dalam proses pengenalan. Setiap syarikat yang terlibat dalam proses membangunkan laman web masing-masing untuk persediaan membangunkan perniagaan melalui internet. Pada fasa kedua (1997-2000) ianya lebih menumpukan soal jual beli yang akan dijalankan. Seterusnya pada fasa ketiga sehingga hari ini, E-Dagang semakin menunjukkan hasil positif dan memberi keuntungan berlipat ganda kepada peniaga. Ditambah pula dengan kemunculan telefon bimbit, komputer riba dan internet yang lebih stabil serta aplikasi yang canggih. Apabila dunia dilanda evolusi teknologi canggih, peluang perniagaan dalam talian ini lebih besar dan membangun dari hari ke hari dan Malaysia tidak terkecuali dalam mempraktikkan penggunaan teknologi ini. Terdapat ramai peniaga yang berjaya dalam industri perniagaan yang mana mereka bermula dari E-Dagang. Sebagai contoh, website membeli belah terkemuka Malaysia FashionValet, lelong.com dan sebagainya telah menjadi icon kepada industri perniagaan dalam talian di Malaysia.
            E-Dagang mempunyai dua kategori iaitu antara perniagaan dengan perniagaan yang lain dan antara perniagaan dengan pengguna. E-Dagang di antara perniagaan dengan perniagaan melibatkan hubungan antara dua atau lebih syarikat yang berurusan. Manakala, E-Dagang antara perniaga dengan pengguna pula melibatkan transaksi di antara penjual produk akhir dengan pengguna. Sebagai contoh, Dominos Pizza telah melancarkan perkhidmatan menempah pizza melalui website yang mana memudahkan penghantaran, pembayaran dan menjimatkan masa pembeli. Ianya merupakan perkhidmatan dari peniaga terus kepada pengguna. Internet mampu mewujudkan rangkaian perniagaan yang besar antara pelanggan, peniaga dan pihak-pihak ketiga seperti bank, syarikat penghantaran barangan seperti Pos Malaysia, GDEX, dan sebagainya. E-Dagang merupakan perniagaan bertaraf dunia memandangkan transaksi jual beli boleh dilakukan secara global dan meluas. Semenjak penggunaan E-Dagang dipraktikkan, persekitaran elektronik telah dilengkapi ciri keselamatan untuk menjaga privasi dan keselamatan pengguna. Dengan ini, peniagaan dalam talian tidak lagi diragui malahan menjadi pilihan pertama untuk para pengguna diseluruh dunia. Seperti icon web perniagaan terkenal dunia E-Bay yang bermula pada tahun 1995 yang membawa pembeli dan peniaga dalam website yang sama untuk membuat transaksi jual beli melalui talian. Dengan ini, E- Dagang bukan sahaja mudah dan cepat tetapi ianya telah banyak membantu untuk memberi peluang ekonomi kepada pelbagai pihak dan ianya terbukti berjaya.
            Perniagaan internet atau E-Dagang tidak banyak bezanya dengan perniagaan konvensional yang mempunyai premis perniagaan. E-Dagang masih memerlukan produk dan perkhidmatan serta pembeli untuk membuat sebarang transaksi perniagaan. Perbezaan nya adalah pembeli dan peniaga tidak perlu bersemuka untuk melakukan transaksi, mereka hanya perlu berhubung melalui talian internet. Perniagaan atas talian adalah berteraskan kepercayaan, maka para pengguna yang menggunakan perkhidmatan ini perlu mempunyai etika dalam melakukan sebarang transaksi jual beli. Kebanyakkan kes-kes penipuan di internet adalah dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab, dan hanya berniat buruk malah telah merosakkan imej peniaga online yang lain. Pada dasarnya, konsep E- Dagang ini adalah untuk menjimatkan masa, tenaga dan meluaskan perniagaan dengan lebih besar.
            Menyentuh tentang evolusi E-Dagang yang semakin pesat dan maju, tidak boleh disangkal lagi kebolehan dan perkembangannya dalam menjana ekonomi negara. Pastinya lebih inovasi dan kreativiti akan ditambah baik dalam merialisasikan konsep E-Dagang yang selamat dan menjadi salah satu cara mudah untuk masyarakat berbelanja pada masa akan datang. Kreativiti dan Inovasi sangat diperlukan dalam menaik taraf perkhidmatan pembelian secara online. Terutama dari pengeluar atau peniaga serta dari pihak berwajib untuk menunjukkan sokongan padu kepada perubahan positif bagi menjana ekonomi individu, syarikat dan negara.


2.0 KEPENTINGAN E-DAGANG DALAM PERNIAGAAN

Kemajuan internet dan telekomunikasi pada masa kini memberi kesan besar dalam bidang perniagaan terutama perniagaan berteraskan E-Dagang. Berdasarkan kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), statistik pengguna Internet pada 2011 menunjukkan terdapat hampir 17 juta pengguna di Malaysia. Laman sosial seperti Facebook pula mencapai lebih 13 juta pengguna dengan purata individu menghabiskan masa 22.3 jam melayari Facebook selama seminggu. Dengan ini, terbukti bertapa kerap rakyat Malaysia menggunakan laman sosial pada setiap hari yang mana merupakan peluang perniagaan yang besar bagi setiap usahawan. Internet merupakan platform berkesan dalam menyampaikan maklumat kerana ianya lebih cepat dan tepat dengan sasaran. Ia juga menunjukkan aktiviti penjualan dan pembelian melalui Internet turut meningkat secara mendadak pada 2010 serta menyumbang 4.1 peratus berbanding negara maju lain. Dengan ini kepentingan E-Dagang dalam perniagaan tidak perlu diragui dan pasti membawa keuntungan yang besar.
            2.1 Memudahkan Urusan Perniagaan
            E- Dagang mendapat tempat dikalangan rakyat kerana terdapat pelbagai kemudahan dalam menguruskan perniagaan melaui dalam talian seperti kemudahan pembayaran melalui perbankan internet, penghantaran dan promosi yang meluas serta urusan jual beli dan transaksi adalah lebih cepat dan cekap. Terdapat ramai usahawan E-Dagang berjaya menambah baik status ekonomi mereka dengan urusan yang pantas dan meyakinkan terutama produk yang menjadi viral di kalangan rakyat. Sebagai contoh, pihak usahawan hanya perlu mengumpul tempahan melalui internet dan menunggu pelanggan membuat transaksi bayaran, selepas itu mereka boleh terus menghantar barang yang dibeli walaupun lokasi pembeli di serata dunia tetapi urusan tersebut lebih pantas dan menjimatkan masa kedua-dua belah pihak. Selain itu, E-Dagang memerlukan kos permulaan perniagaan lebih rendah, promosi pemasaran lebih meluas dengan sasaran pengguna lebih spesifik, pengurusan perniagaan lebih cekap dalam hubungan pelanggan dan kos pemasaran jauh lebih murah berbanding pemasaran konvensional.

            2.2 Pasaran yang Luas
            Internet merupakan rangkaian global yang menghubungkan pengguna dan memudahkan perkongsian maklumat melalui satu set protokol yang sama. Oleh itu, ianya membolehkan komputer dihubungkan kepada rangkaian untuk berkomunikasi tanpa mengira lokasi pengguna. Internet juga berkonsepkan komunikasi secara terbuka, yang mempunyai pelbagai kemudahan seperti video, mel suara, rakaman, chatting dan sebagainya. Bersesuaian dengan konsepnya yang cepat, mudah dan meluas internet dapat menyampaikan maklumat dengan pantas tanpa batasan ke seluruh dunia. Dengan kemudahan ini, para pengusaha dapat memanafaatkan kelebihan internet untuk memajukan dan memperluaskan perniagaan mereka. Para usahawan mampu memasarkan produk dan perkhidmatan mereka ke seluruh dunia. Para pengguna E-Dagang juga dapat melihat gambar, video dan menghantar pesanan kepada kepada pengusaha dan pembeli walau di mana mereka berada dengan cepat dan pantas. Inilah yang digelar teknologi dunia tanpa sempadan yang canggih dan memudahkan.
            2.3 Menjana Ekonomi
            Kebanyakkan pengusaha E-Dagang seperti Ebay, Lelong.com, Fasionvalet, BellaAmara dan lain – lain telah membuktikan perniagaan melalui internet mampu menjana pendapatan sehingga jutaan ringgit. Kos permulaan perniagaan tidak sebesar perniagaan konvensional tetapi pulangan keuntungan adalah sangat berbaloi. Selain itu, ia dapat menjana ekonomi individu dan Negara. Kebanyakkan pengusaha kecil menggunakan platform laman sosial seperti facebook dan instagram, kerana ia lebih mudah dan berkos rendah. Malahan ianya dapat membantu para suri rumah untuk menjana ekonomi mereka. Terdapat ramai pengusaha perniaga atas talian merupakan suri rumah sepenuh masa. Selain dapat menjana ekonomi keluarga mereka juga dapat menumpukan perhatian kepada anak-anak memandangkan perniagaan mereka berasaskan perniagaan dari rumah. Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan dalam sinar harian 5 febuari 2016 pada masa ini, E-dagang menyumbang 5.8 peratus kepada KDNK Negara. Ini membuktikan sektor E-Dagang mampu menjana ekonomi Negara dan ianya akan meningkat pada masa akan datang.  
2.4 Mencipta Pengalaman Baru
            Konsep E-Dagang memberi evolusi kepada dunia perniagaan, dan sentiasa berkembang serta membangun dari masa ke semasa. Dari hanya mampu memesan barangan, kini E-Dagang memberi pelbagai perkhidmatan yang lebih kreatif dan Inovatif. Sebagai contoh laman web Tripadvisor mampu memberi pengalaman baru kepada pengguna internet yang mana mampu membuat tempahan hotel, tiket kapal terbang dan memberi tips bagi pelanggan yang ingin melancong ke seluruh dunia. Perkhidmatan seperti itu, sangat memudahkan kerana ianya menyediakan segala keperluan dalam satu laman web sahaja. Selain itu, terdapat juga web yang kreatif dan inovatif dalam menyediakan perkhidmatan lain dari yang lain. Seperti laman web Airbnb yang menyediakan perkhidmatan tempat tinggal untuk pelancong yang berkonsepkan homestay samada tinggal bersama tuan rumah atau rumah lain milik persendirian. Dengan kemudahan ini, para pelancong akan menikmati harga yang lebih murah berbanding dari hotel dan pemilik rumah pula dapat menjana ekonomi keluarga.

3.0 TAHAP PENGGUNAAN E-DAGANG DI MALAYSIA

            Berdasarkan kajian dari Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan pada tahun 2015, individu di Malaysia yang berumur 15 tahun dan ke atas yang menggunakan Internet adalah 71.1 peratus iaitu meningkat 14.1 mata peratus berbanding 2013. Peratusan individu menggunakan komputer juga telah meningkat daripada 56.0 peratus pada 2013 kepada 68.7 peratus pada 2015. Sementara itu, 97.5 peratus individu menggunakan telefon bimbit pada 2015 berbanding 94.2 peratus pada 2013. Selain itu, aktiviti Internet yang paling popular dilaksanakan oleh pengguna Internet adalah mengambil bahagian dalam rangkaian sosial (84.3%), diikuti mendapatkan maklumat tentang barangan dan perkhidmatan (79.6%), memuat turun gambar, filem, video atau muzik, bermain atau memuat turun permainan (76.1%) dan menghantar atau menerima e-mel (68.4%). Termasuk juga aktiviti lain yang dilakukan oleh pengguna Internet adalah seperti perbankan Internet (27.4%), mencari pekerjaan atau menghantar permohonan kerja (14.7%) dan membeli atau membuat pesanan barangan atau perkhidmatan (E-Dagang) (16.1%).
Statistik tersebut menunjukkan bahawa tahap pengunaan E-Dagang atau media sosial sebagai tempat memasarkan dan membeli barangan semakin meningkat dan menjadi pilihan utama kepada pengguna yang rata-rata menganggap pembelian atas talian lebih mudah dan menjimatkan masa. Rakyat Malaysia kini, sudah terdedah dengan kepesatan pembangunan teknologi yang membantu dalam menjalani kehidupan seharian. Selain itu, Pihak kerajaan, badan bukan kerajaan dan syarikat korporat serta multinasional telah melancarkan perkhidmatan atas talian untuk pelbagai urusan. Sebagai contoh urusan-urusan rasmi pihak kerajaan seperti pembaharuan cukai jalan, pembayaran saman dan sebagainya. Penglibatan banyak pihak dalam penggunaan E-Dagang atau transaksi atas talian telah menjadikan medium ini semakin diterima umum.
Selain itu, Industri kecil dan sederhana (IKS) turut terlibat dengan penggunaan internet sebagai medium untuk memperomosikan dan memasarkan barangan dan perkhidmatan mereka. Kebanyakkan peniaga yang berasas dari rumah memilih E-Dagang sebagai platform perniagaan memandangkan kos yang lebih murah dan lebih mudah bagi mereka untuk membahagikan masa. Semakin hari E-Dagang semakin diterima masyarakat malahan ianya kini sebagai punca pendapatan utama bagi peniaga kecil yang baru memulakan perniagaan. 

4.0 CABARAN DAN HALANGAN PENGGUNAAN E-DAGANG

Cabaran dan halangan E-Dagang bukan sahaja kepada peniaga malahan juga memberi kesan kepada pengguna. Berdasarkan rekod aduan berkaitan E-Dagang yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) sebanyak 7,641 aduan telah dibuat pada tahun 2014 dengan kerugian berjumlah berjuta-juta ringgit. Ini memberi satu gambaran bahawa perniagaan atas talian mempunyai risiko yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan perniagaan konvensional. Oleh yang demikian, pelbagai cabaran dan halangan perlu dihadapi dalam proses mempraktikkan perniagaan digital ini.

4.1 Keselamatan
Peniagaan internet berisiko tinggi untuk berhadapan dengan masalah keselamatan memandangkan internet mempunyai rangkaian global yang luas. Peniaga lebih mudah terdedah kepada jenayah cyber yang mana kecurian data peribadi yang akan menjejaskan perniagaan dan membawa kerugian. Terdapat banyak web-web E-Dagang yang telah digondam oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk mencuri data penting dan juga pembayaran yang telah dibuat dari pembeli. Data-data peribadi pengguna telah terdedah kepada bahaya dan membuatkan pembeli hilang kepercayaan kepada pihak peniaga. Selain itu, peniaga akan kehilangan data pembayaran yang telah dibuat oleh pembeli, dan menyebabkan tempahan yang dibuat tidak dapat dihantar kepada pembeli. Masalah ini akan melibatkan kerugian yang besar kepada peniaga.
Kebanyakan perniagaan dalam talian ataupun E-Dagang adalah melakukan transaksi tanpa bersua muka, ianya berkonsepkan kepercayaan dan etika perniagaan sepenuhnya. Disebabkan itu, ada sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas kelemahan perniagaan E-Dagang ini. Selain itu, bukan sahaja perniaga akan mengalami masalah ini, pengguna turut akan berhadapan masalah yang sama seperti berlaku penipuan kualiti barangan yang mana tidak sama seperti yang dipaparkan dalam iklan perniagaan. Hal-hal yang demikian sukar dielakkan kerana kebanyakkan peniaga atas talian tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah. Selain itu juga risiko pendedahan maklumat peribadi seperti alamat rumah, nombor telefon dan pelbagai maklumat sulit. Kebanyakkan pelanggan tidak memilih untuk berbelanja di internet kerana kerisauan mengenai perkara ini selain dari ditipu oleh peniaga.
4.2 Masalah Pembayaran
            Perniagaan atas talian atau E-Dagang membuat transaksi pembayaran melalui perbankan internet dan kredit kad. Jika pembeli mempunyai masalah kad kredit secara automatik ianya memberi kesan kepada peniaga yang mana pembayaran tersebut tidak dapat dijelaskan. Peniaga akan berhadapan dengan kerugian apabila pembayaran tidak diterima. Selain itu, peniaga juga berhadapan dengan penipuan daripada pembeli yang tidak membuat bayaran. Situasi menjadi lebih sukar apabila maklumat peribadi pembeli tidak boleh di kesan memandangkan pembeli boleh menggunakan akaun internet yang palsu. Disebabkan itu, jenayah cyber seperti ini sukar dikesan dan dikawal.
4.3 Masalah Gangguan Internet dan Masa
            Sebagai perniaga E-Dagang yang mempunyai pasaran yang luas, internet yang digunakan perlu stabil dan cukup untuk menampung akses dan transaksi yang dilakukan dalam perniagaan. Apabila masalah internet berlaku secara tidak langsung ianya akan menggangu perjalanan transaksi yang dilakukan. Selain itu, para perniaga perlu sentiasa berada di kawasan yang mempunyai akses internet. Para pelanggan yang berada di serata dunia memerlukan maklumbalas dengan segera. Selain itu, para perniaga perlu memberi fokus dan menumpukan sepenuh masa dalam melayan pelanggan tidak kira siang atau malam terutama bagi pembeli yang berada di luar negara yang mempunyai zon masa yang berbeza.
            4.4 Masalah Penghantaran
Masalah penghantaran kerap berlaku dalam perniagaan atas talian, ini kerana kadangkala peniaga tidak membuat penghantaran pada tarikh yang dijanjikan. Seterusnya menyebabkan kelewatan dalam penerimaan barangan. Disamping itu, syarikat penghantaran juga menghadapi pelbagai masalah dalam membuat penghantaran seperti masalah cuaca, pengangkutan dan sebagainya. Kelewatan ini telah menimbulkan masalah kepada pembeli yang memerlukan barangan tersebut dalam kadar segera. Dengan ini, perniagaan konvensional dilihat sebagai lebih mudah dan cepat.
4.5 Masalah Khidmat Pelanggan Dan Komunikasi
Komunikasi dan khidmat pelanggan sangat penting dalam bidang perniagaan. E-Dagang yang berkonsepkan komunikasi melalui internet sudah pasti akan menghadapi masalah dalam memberi layanan dan perhatian terus kepada pelanggan. Pelanggan hanya perlu menggunakan sistem untuk pembelian, secara langsung tidak akan berkomunikasi terus dengan peniaga. Dengan ini, para pelanggan perlu membaca penerangan yang telah dipaparkan oleh peniaga bagi mendapatkan maklumat terperinci. Oleh itu, sebarang soal jawab tidak dapat dijalankan secara terus dan jelas. Kebanyakkan peniaga juga memilih untuk tidak melayan pelanggan yang terlalu cerewet dalam urusan jual beli. Disamping itu, masalah kefahaman dalam penerangan yang diberikan juga akan terjadi, memandangkan penerangan maklumat barangan adalah dalam bentuk penulisan yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada pembeli terutama jika berlainan bahasa. Selain itu, pembeli juga sering tertipu dengan gambar yang ditujukkan. Peniaga tidak menggunakan gambar sebenar dan setelah pembeli menerima barangan mereka, berlaku ketidakpuasan hati kerana kualiti barangan adalah tidak seperti yang dipamerkan. Sejurus itu, mereka cuba menghubungi khidmat pelanggan untuk urusan maklum balas berkenaan barangan tersebut, tetapi mereka tidak akan dilayan. Situasi seperti itu yang membuatkan para pembeli menjadi trauma dengan perkhidmatan E-Dagang.
4.6 Kos Tersembunyi
E-Dagang selalunya melibatkan pembelian jarak jauh terutama dari luar negara. Perniagaan ini mempunyai kos-kos yang tersembunyi seperti kos penghantaran mengikut berat barang, dan cukai-cukai yang berkaitan jika barangan tersebut dari negara berlainan. Pembeli perlu lebih teliti dalam menilai harga dan pembayaran yang dilakukan. Kebanyakkan pembeli berasa teruja dengan harga yang dipaparkan sedangkan harga yang ditunjukkan semestinya belum termasuk kos-kos yang diperlukan bagi menghantar barang tersebut kepada pembeli. Dengan ini, kos akan menjadi lebih mahal berbanding barangan yang dibeli daripada peniaga konvensional. Sebagai contoh pembelian dari E-Bay, harga yang dipaparkan akan menarik minat pelanggan, dengan rasa teruja pelanggan akan segera membeli barangan tersebut, apabila ingin membuat bayaran, harga akhir akan dipaparkan beserta dengan pelbagai cukai dan caj perkhidmatan. Akhirnya pelanggan mendapati harga barangan tersebut tidak sama seperti yang dipromosikan di internet.

5.0 FAKTOR-FAKTOR PENDORONG PENGGUNAAN E-DAGANG
            5.1 Individu
            Pada zaman kini, perkembangan internet dan teknologi canggih telah menghubungkan individu dan syarikat-syarikat secara digital dengan meluas tanpa sempadan. Dengan konsep cepat dan mudah, ianya menjadi daya penarik kepada masyarakat yang semakin sibuk dengan kehidupan harian sehingga tidak sempat mengunjungi premis atau perniagaan konvensional. Konsep pelbagai produk dalam satu laman web sudah pasti memudahkan bagi setiap individu untuk mencari barangan keperluan harian seperti baju, barangan dapur dan sebagainya. Lebih mudah lagi, ada peniaga E-Dagang yang menyediakan makanan yang telah siap dimasak mengikut diet sihat, dan dihantar terus kepada pembeli. Perkhidmatan dan barangan yang kreatif dan menarik seperti ini merupakan daya penarik bagi masyarakat. Selain itu, individu dapat membuat perbandingan barangan dengan lebih cepat, maklumat yang terperinci dan jualan murah yang diadakan. Individu juga boleh memeriksa stok barangan serta mendapatkan harga yang lebih berpatutan dengan membuat perbandingan barangan tersebut. Selain itu juga, pelanggan dapat menjimatkan masa dari beratur di kaunter bayaran.
            5.2 Organisasi dan Usahawan
            Penawaran dan permintaan merupakan asas perniagaan yang tidak dapat dipisahkan. Memandangkan dunia global yang moden, permintaan pelanggan adalah lebih luas, pelbagai dan terkini. Oleh sebab itu, para usahawan dan organisasi yang terlibat perlu turut serta dalam mengejar teknologi bagi memuaskan kehendak pelanggan. E- Dagang adalah merupakan platform yang baik bagi menambahkan keuntungan organisasi memandangkan internet menyediakan pasaran yang luas, pantas menghidu peluang, dan mampu memberi pulangan yang lumayan. Disamping itu, teknologi ICT semakin diterima rakyat dan mendapat sokongan dari kerajaan yang berusaha menambah baik dan memastikan keselamatan dalam menggunakan E-Dagang. Penggunaan E-Dagang ini adalah lebih meluas dengan penglibatan agensi kerajaan, syarikat korporat seperti bank dan pelbagai syarikat-syarikat lain serta peniaga dari rumah. Penyediaan internet yang baik dari syarikat telekomunikasi turut mendorong organisasi dan usahawan untuk menumpukan penjualan barangan dan perkhidmatan melalui internet. Oleh sebab itu, laman web E-Dagang boleh diakses dimana-mana sahaja walaupun di kampung dan luar bandar. Para usahawan juga dapat menjimatkan kos bagi sewaan bangunan dan premis perniagaan. Dengan ini, peniaga mampu mengurangkan kos untuk memiliki sesebuah perniagaan.

KESIMPULAN
            E-Dagang merupakan platform kemajuan kepada bidang perniagaan. Perkhidmatan E-Dagang terbukti membantu menambah baik ekonomi global selain dari memudahkan pengguna. Walaupun terdapat kelemahan dalam E-Dagang tetapi masalah tersebut masih boleh dibendung dan ditambah baik dari masa ke semasa. Konsep E-Dagang mencetuskan fenomena baru dalam mencipta, membuat dan menerima pesanan, sehinggalah memberikan perkhidmatan keseluruh dunia. Memandangkan perkembangan teknologi dunia semakin pesat, seharusnya kita menyahut cabaran itu bagi setanding dengan negara-negara maju. Kejayaan E-Dagang telah terbukti dan melahirkan ramai usahawan berjaya di Malaysia terutama usahawan muda. Konsep E-Dagang merupakan gaya hidup baru masyarakat yang bukan sahaja memudahkan malahan dapat menjana ekonomi negara. Bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan E-Dagang ianya perlu diusahakan bersama-sama untuk memastikan konsep ini terus berinovasi dan berkembang dalam jangka masa panjang. E-Dagang menawarkan peluang yang besar bagi negara dan mampu memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat.
    
RUJUKAN

Rujukan Buku
E-man, Bidang Perniagaan 2010, Segambut Kuala Lumpur, Penerbitan Hartamas
Dr. Ravi Kalakota, Marcia Robinson, E-Niaga Panduan Untuk Berjaya 2008, Idaman       Print Sdn Bhd. Taman Melawati, Kula Lumpur
Mohamad Ridzuan Amin, E-Dagang dan anda 2009, Bandar Sunway, Pustaka Seri        Idaman

Rujukan Web
http://www.augment.com/blog/evolution-ecommerce-last-decade/ The evolution of E-Commerce telah diakses pada 3 November 2016


No comments:

Post a Comment