Wednesday 30 November 2016

INDUSTRI PELANCONGAN ( ANIS A'ZIAH BINTI HASRAN 241917)

Pengenalan
Melancong merupakan salah satu terapi kepada manusia yang ingin berehat sebentar daripada segala aktiviti seharian dan pekerjaan mereka. Tidak kira saamada melancong di dalam dan luar negara, semua orang perlu keluar daripada kehidupan biasa mereka seketika dan beri ruang untuk merehatkan minda dan fizikal bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Industri pelancongan juga merupakan antara salah satu daripada penyumbang pendapatan negara yang agak besar sejak kebelakangan ini. Semakin hari semakin ramai yang menyokong dalam mengiatkan lagi industri pelancongan, samaada melancong di dalam Malaysia mahupun luar negara. Kementerian Pelancongan Malaysia juga sangat berusaha keras dalam sama-sama membantu untuk menjadikan sektor pelancongan negara antara sektor yang boleh menjana pendapatan negara daripada semasa ke semasa. Agensi-agensi pelancongan yang banyak wujud pada masa kini juga tidak kurang hebatnya dalam membantu memeriahkan lagi sektor pelancongan negara. Dengan adanya agensi-agensi pelancongan seperti ini, sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat sekiranya mahu berurusan untuk pergi melancong. Terdapat banyak sektor yang terlibat dalam mengendalikan industri pelancongan ini, termasuk pengangkutan, penginapan seperti hotel, chalet, resort, homestay dan lain-lain, Tour Guide, tempat menjual makanan dan minuman, tempat-tempat menarik dan pelbagai lagi perkhidmatan yang bekerjasama dalam melancarkan segala urusan yang berkaitan dengan sektor pelancongan ini. Segalanya demi mendapatkan kepuasan para pelancong yang datang untuk melawat ke negara yang mereka inginkan.

1. INDUSTRI PELANCONGAN

Pelancongan pula boleh ditakrifkan sebagai sesuatu aktiviti ziarah atau pergerakkan yang mana sesorang itu keluar ke suatu tempat di luar tempat kerja serta tempat penginapan biasa, secara sementara yang memerlukan aktiviti serta penginapan yang sementara di sesuatu destinasi tersebut serta perkhidmatan dan segala keperluan yang mereka kehendaki di sesuatu destinasi tersebut. Melancong juga dilihat hanya mampu dilakukan oleh mereka yang mempunyai kemampuan yang lebih terutama daripada segi wang dan juga kelapangan masa.

Industri Pelancongan

Industri pelancongan merupakan satu industri yang mampu membantu untuk menjana pendapatan negara dan membangunkan ekonomi sesebuah negara. Ianya turut melibatkan beberapa yang terlibat secara langsung dan juga secara tidak langsung dalam mengendalikan industri pelancongan. Peranan pihak kerajaan dan pihak swasta yang terbabit sangat membantu dalam segala perlaksanaa bagi memastikan matlamat industri pelancongan sesebuah negara itu dapat dicapai. Antara sektor yang terlibat adalah sektor pengangkutan seperti darat, udara dan air, penginapan, tempat-tempat yang menarik, perkhidmatan yang berkaitan, syarikat-syarikat swasta seperti agensi pelancongan dan sebagainya.

Selain daripada itu, sektor pelancongan yang melibatkan sukan, kesihatan perniagaan dan pendidikan juga merupakan fakor yang mempengaruhi peningkatan industri pelancongan di negara ini. Namun, negara lebih focus pada percutian liburan iaitu pelancong lebih suka melawat ke tempat-tempat yang menarik yang mana lebih mendapat sambutan hangat daripada pelancong dalam juga luar negara. Kedatangan pelancong mulai meningkat daripada semasa ke semasa yang mana ianya telah meletakkan Malaysia antara negara yang diiktiraf sebagai negara yang merupakan destinasi pelancongan utama dimana terdapat banyak tempat-tempat yang menarik dan kaya dengan alam semulajadi serta kebudayaan yang pelbagai yang dapat dinikmati oleh para pelancong yang datang ke Malaysia.

2.  Tahap Pembangunan industri pelancongan
Pada masa dahulu sekitar selepas kemerdekaan, industri pelancongan bukanlah satu sektor yang begitu ditekankan yang dapat membantu pembangunan negara. Negara pada masa itu lebih mementingkan pada hasil bumi yang mana menjadi sumbangan kepada pendapatan negara yang utama. Industri pelanconga mula berkembang sekitar tahun 1972 iaitu selepas wujudnya Penubuhan Pelancongan Malaysia (TDC) serta Persidangan Kesatuan Pelancongan Kawasan Pasifik  (PATA) di Kuala Lumpur. Setelah itu industri pelancongan dilihat semakin berkembang daripada semasa ke semasa sehingga Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan ditubuhkan pada tahun 1987. Industri pelancongan dirancakkan lagi selepas Kementerian tersebut telah dinaik taraf kepada Kementerian Kebudayaan, kesenian dan pelancongan pada tahun 1990 dan kini pada 2016 Kementerian tersebut sudah ditukar nama lagi kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Kini kementerian telah mewujudkan pelbagai aktiviti yang dapat menarik pelancong untuk datang melawat ke Malaysia samaada daripada luar mahupun dalam negara sendiri.
            Selepas zaman kegawatan ekonomi yang pernah terjadi pada sekitar tahun 1997 dan 1998, kerajaan melihat bahawa industri pelancongan antara yang boleh membantu negara untuk menjana pendapat negara melalui pengaliran masuk mata wang asing ke dalam negara. Maka, kerajaan mula memperbaikki serta menaik taraf segala kemudahan seperti memperbaikki jeti, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi bagi memudahkan pelancong asing masuk ke dalam Malaysia. Setelah segala usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan bagi membangunkan industri pelancongan, maka pada tahun 2000 telah mencatatkan seramai lebih kurang 10.2 juta pelancong dalam dan luar negara yang berkunjung ke Malaysia dan berjaya menyumbang kepada pendapatan negara kira-kira RM 20juta, termasuk RM 17 juta yang melibatkan penukaran mata wang asing, (Berita Harian, 9 Jun 2001).
2.1 Berikut merupakan statistik sekitar tahun 1998 ke 2000 berkenaan kemasukkan pelancong serta pendapatan yang diperolehi hasil daripada kajian yang telah dilakukan,(Malaysia 2001).
Jadual 1. Ketibaan pelancong dan pendapatan daripada pelancongan, 1998-2008
TAHUN
KETIBAAN PELANCONG (JUTA)
PENDAPATAN
1998
5.50
8,580.5
1999
7.93
12,321.3
2000
10.22
17,335.3
2001
12.78
24,221.5
2002
13.29
25,781.1
2003
10.58
21,291.1
2004
15.70
29,651.4
2005
16.70
31,954.1
2006
17.45
36,271.1
2007
20.90
46,070.2
2008
22.00
49,561.2

Jadual 1 di atas merupakan kajian yang telah dibuat dan menunjukkan bahawa industri pelancongan semakin meningkat daripada tahun demi tahun berikutnya. Peningkatan tersebut telah membuktikan bahawa negara Malaysia telah member tumpuan pada industri pelancongan yang dilihat dapat membantu dalam pembangunan ekonomi negara dan menyumbang pada pendapat negara.
Oleh itu, kerajaan serta sektor swasta yang terlibat secara langsung perlu member perhatian supaya sektor pelancongan di Malaysia lebih mendapat perhatian bukan sahaja didalam negara malah di mata dunia.

3. Kepentingan dan Sumbangan Industri Pelancongan Terhadap Pembangunan Ekonomi Negara.
3.1 Sudut Ekonomi
Industri pelancongan antara penyumbang terbesar di dalam sesebuah negara, begitu juga dengan Negara Malaysia ini. Di lihat daripada segi ekonomi, dengan kemasukan pelancong asing yang meningkat daripada semasa ke semasa ke dalam negara ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam pembangunan ekonomi negara ini.
Setiap pelancong yang masuk ke dalam negara ini perlu lah membuat penukaran wang asing kepada mata wang negara ini iaitu Ringgit Malaysia. Ianya secara tidak langsung telah berlaku aliran mata wang asing yang mana dapat membantu negara Malaysia dalam membangunkan negara agar lebih maju ke hadapan dan menstabilkan kewangan negara Malaysia. Penukaran mata wang asing itu juga boleh di tukar di mana-mana cawangan pengurup wang atau pun bank yang menyediakan perkhidmatan tukaran wang asing.
Selain itu, industri pelancongan juga banyak membantu rakyat Malaysia mendapatkan pekerja daripada peluang-peluang pekerjaan yang wujud dalam pelbagai jenis bentuk perniagaan yang melibatkan industri pelancongan. Sebagai contoh perniagaan yang berkaitan hasil daripada permintaan yang tinggi oleh para pelancong antaranya ialah penginapan, perkhidmatan pengangkutan, tempat makanan dan minuman, juru pemandu pelancong, kedai-kedai yang menjual cenderahati, tempat-tempat tarikan yang menarik dan sebagainya. Kini, sektor perniagaan yang melibatkan industri pelancongan wujud bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Terdapat banyak pilihan tempat penginapan bermula daripada hotel yang bertaraf lima bintang, hotel bajet, resort, chalet serta homestay yang semakin banyak di bangunkan demi memenuhi permintaan para pelancong yang semakin meningkat. Ada beberapa kawasan perkampungan juga mempunyai pakej penginapan sambil para pelancong asing diberi peluang untuk merasa cara hidup tradisional masyarakat Melayu iaitu dengan berpakaian basahan tradisional masyarakat melayu ketika di rumah seperti memakai kain batik untuk wanita manakala kain pelekat untuk lelaki. Kadangkala para pelancong juga di beri peluang untuk bermain permainan tradisional masyarakat melayu bersama orang kampung seperti permainan congkak, laying-layang, gasing dan lain-lain, yang mana pengalaman sebegitu akan memberikan satu kenangan yang amat bermakna bagi para pelancong asing khususnya apabila mereka pulang ke negara asal mereka.
Terdapat juga pelbagai pilihan tempat makan yang memenuhi cita rasa para pelancong, samaada mereka memilih untuk makan di hotel yang mewah, di kedai-kedai makan biasa, warung-warung tepi jalan dan walau di mana jua mereka berada, negara Malaysia antara sebuah negara yang tidak pernah mengecewakan para pelancong berkaitan makanan. Terpulang kepada para pelancong samaada mahu menikmati makanan ala barat, ala thai, makanan laut yang juga terdapat di kawasan bandar, kawasan kampung, apatah lagi di kawasan tepi laut yang sudah semestinya memberikan keselesaan kepada para pelancong yang inginkan suasana yang nyaman. Bagi pengusaha dalam bidang  pengangkutan juga seperti bas, van, teksi, kereta sewa, beca dan sebagainya juga antara yang menyumbang dalam ekonomi negara kerana sudah semestinya pelancong luar yang datang ke dalam Malaysia ini memerlukan kenderaan untuk bergerak. Mereka boleh memilih apa saja jenis kenderaan yang selesa untuk mereka naikki asal kan sampai ke tempat tujuan mereka.
Aktiviti sukan air kini dilihat antara aktiviti yang menggalakkan kemasukan pelancong asing yang ramai ke negara Malaysia ini. Antara sukan air yang di minati seperti snorkeling, diving, parasailing, jetski dan sebagai nya antara yang di minati oleh pelancong asing. Kebanyakkan pelancong asing yang gemar datang ke negara Malaysia untuk membuat aktiviti ini datangnya daripada negara Eropah. Rata-rata pelancong yang datang daripada negara Eropah yang memeriahkan kawasan pulau-pulau dan kawasan pelancongan di tepi pantai, terutamanya pada musim panas di negara mereka. Mungkin kerana lambakan manusia yang ingin menikmati cuaca panas di negara mereka menyebabkan mereka gemar melancong ni negara-negara Asia. Dengan ini dapat membantu membangunkan industri pelancongan di kawasan pulau-pulau yang banyak juga terdapat di negara Malaysia ini, yang begitu cantik setaraf dengan dengan kecantikkan pulau-pulau negara Asia yang lain.
3.2 Sudut Politik
Pelbagai usaha negara untuk mengadakan aktiviti sukan khususnya yang bertaraf antarabangsa bagi membuka mata negara luar terhadap negara Malaysia yang dapat menarik minat peminat sukan dunia. Sebagai contoh seperti sukan yang bertaraf antarabangsa seperti Formula 1, Sukan bertaraf tinggi seperti Sukan Komanwel dahulunya di mana Malaysia pernah menjadi tuan rumah pada tahun 1998.
Terdapat juga perlawanan-perlawan bola sepak yang melibatkan negara-negara jiran, serta perlawanan persahabatan antara kelab antarabangsa iaitu Chelsea yang telah di adakan suatu ketika dahulu pada 21 Julai 2013 bertempat di Stadium Shah Alam. Secara tidak langsung, aktiviti-aktiviti sukan yang telah dianjurkan di negara Malaysia ini dengan melibatkan atlet-atlet yang datang daripada seantero dunia dapat mempromosikan Malaysia di keseluruh dunia. Sehubungan dengan itu, Malaysia juga dilihat antara negara yang mampu menyediakan prasarana serta kelengkapan sukan yang bertaraf antarabangsa dan mampu menjadi tuan rumah bagi sukan yang berprestij dan bertaraf dunia.

4. Halangan dan Cabaran Industri Pelancongan
Industri pelancongan yang semakin membangun telah banyak menyumbang kepada pendapatan negara. Terdapat pelbagai sokongan daripada pihak kerajaan terhadap sektor-sektor yang terlibat secara langsung mahupun secara tidak langsung bagi memastikan semua sektor yang terlibat dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dan dapat meningkatkan mutu perkhidmatan daripada semasa ke semasa. Namun, segala halangan mahupun cabaran yang mendatang adakalanya sukar untuk dielakkan. Tidak kira ianya datang daripada masalah dalam negara Malaysia ini sendiri ataupun datang daripada para pelancong yang masuk ke dalam negara ini.
4.1 Halangan dan Cabaran yang datang daripada dalam negara dan luar negara.
4.1.1   Antara cabaran utama dalam sektor pelancongan bagi sesebuah negara maju kini iaitu pesaingan yang melibatkan sektor pelancongan di dalam negara mahupun luar negara.
Kini telah berlaku lambakkan perniagaan yang berkaitan dengan pelancongan. Terpulang kepada para pelancong mahu memilih syarikat yang mana yang menepati citarasa mereka dan dapat member kepuasan kepada mereka. Oleh itu, pihak-pihak yang terlibat dalam sektor pelancongan perlu lebih kreatif dan serba boleh dalam menarik minat pelancong luar untuk datang ke Malaysia serta pengetahuan yang luas berkaitan teknik dan strategi dalam mempromosikan dan menawarkan perkhidmatan serta produk pelancongan masing-masing agar tidak ketinggalan dan dapat bersaing secara sihat. Cabaran seperti ini biasanya di ambil secara positif oleh mereka yang terlibat kerana wujud pelbagai syarikat agensi pelancongan dalam dan luar negara yang menjual produk yang agak sama, perkhidmatan yang sama, destinasi yang sama dengan harga yang lebih kurang sama.
Maka persaingan seperti ini dilihat cabaran bagi mereka yang terlibat dalam memberikan perkhidmatan kepada para pelancong. Seperti contoh, Syarikat Poto Travel & Tours yang mana dahulunya merupakan satu-satunya syarikat bumiputera yang pakar dalam mengedalikan serta mempromosikan pelancongan ke negara-negara eropah dan membawa masuk pelancong terutamanya daripada negara China dalam jumlah yang besar kini perlu bersaing dengan banyak syarikat yang telah membuat perkhidmatan yang sama. Maka, cabaran seperti ini perlu di tangani dengan bijak supaya dapat terus menyumbang kepada pendapatan negara dalam sektor pelancongan.
4.1.2   Ketidakstabilan politik sesebuah negara juga antara cabaran masa kini yang semakin membimbangkan. Ianya sedikit sebanyak dapat menjejaskan sektor pelancongan.
Melihat kepada keadaan sekarang ini dimana dunia tanpa sempadan dan banyak penyebaran perkara-perkara yang tidak baik berpunca daripada kemajuan teknologi masa kini. Pelbagai isu yang berkaitan politik dalaman negara kini tersebar di alam maya tanpa ada pengesahan daripada mana-mana pihak daripada orang tertentu yang boleh menjadi wakil kepada negara ini bagi menjelaskan kedudukan sebenar politik sesebuah negara ini agar tidak menimbulkan kebimbangan orang daripada luar negara yang ingin masuk ke negera ini. Jika dapat dilihat banyak negara-negara yang terjejas sektor pelancongan mereka di sebabkan oleh isu politik dalaman sesebuah negara tersebut. Masa kini, isu politik juga merupakan cabaran yang perlu dihadapi kebanyakkan negara yang mempunyai pergolakkan politik yang boleh menjejaskan sektor pelancongan ke tahap yang membimbangkan.
Sebagai contoh seperti di negara Thailand iaitu negara yang agak hampir dengan Malaysia yang selalu berlaku pergolakkan di negara mereka. Secara tidak langsung ianya akan menjejaskan ekonomi negara itu dan para pelancong juga mulai bimbang untuk masuk ke negara itu untuk bercuti. Apatah lagi negara-negara Islam yang sentiasa bergolak seperti Syria dan Palestin, yang tidak pernah berhenti serta sentiasa mempunyai masalah yang tidak pernah aman. Ini secara tidak langsung menyebabkan orang luar takut untuk masuk ke sesebuah negara itu tidak kira apa tujuan sekali pun. Baru-baru ini juga, Malaysia dilihat antara salah sebuah negara yang mempunyai sedikit masalah politik sehingga di ketahui oleh orang di luar negara. Ianya sedikit sebanyak telah menimbulkan tanda tanya kepada orang di luar negara yang mahu datang ke negara Malaysia ini, adakah Malaysia masih aman untuk dilawati?. Sungguhpun begitu, isu politik di negara Malaysia ini tidak la seteruk seperti yang mereka di luar sana sangkakan dan ianya langsung tidak menjejaskan keamanan serta industri pelancongan di negara ini. Namun, isu-isu politik sesebuah negara seperti ini sekiranya berlarutan dan semakin teruk, secara tidak langsung dapat mengganggu aktiviti sektor-sektor yang melibatkan industri pelancongan.
4.1.3   Kebudayaan sesebuah negara itu perlu dikekalkan oleh masyarakat setempat kerana ianya merupakan jati diri sesebuah masyarakat di negara tersebut.
Arus kemodenan yang semakin pesat kini sedikit sebanyak telah mengurangkan segala amalan-amalan, kebudayaan, adat resam sesebuah negara, masyarakat serta kaum tersebut. Justeru itu, rakyat sesebuah negara tersebut perlu mewujudkan sebuah pusat kebudayaan atau tempat tarikan yang mengekalkan serta memperkenalkan tentang kebudayaan sesuatu tempat itu agar ianya tidak dilupakan oleh generasi akan datang. Sebagai contoh di dalam negara Malaysia ini, kebanyakkan pelancong yang datang ke negara ini kerana mereka ingin melihat dan mengetahui tentang budaya sesebuah kaum yang berbilang bangsa yang boleh hidup aman dan harmoni didalam sebuah negara yang sama.
Wujudnya seperti Taman Mini Malaysia, Muzium-muzium yang banyak terdapat di setiap negeri, pusat-pusat kebudayaan, acara-acara kebudayaan yang di lakukan khususnya ketika sambutan perayaan dan banyak lagi yang boleh di pertontonkan kepada para pelancong tentang kekayaan budaya di negara ini. Malaysia juga terkenal dengan pelbagai permainan tradisional seperti bermain Wau, Congkak, Gasing dan sebagainya yang akan menimbulkan minat pelancong untuk mencuba sendiri bermain dengan permainan tradisional sesebuah masyarakat itu kerana mereka semestinya akan mencuba sesuatu yang tiada di negara asal mereka sendiri. Maka, cabaran masa kini adalah bagaimana untuk sesebuah negara untuk mengekalkan kebudayaan negara ini daripada terus dilupakan ekoran banyak kemasukkan pengaruh daripada negara barat atau negara luar yang lain yang mana telah menjadikan generasi baru masa kini lupa akan kebudayaan negara asal mereka sendiri.
4.1.4   Kebersihan alam sekitar amat penting bagi menjaga imej negara dan membuatkan para pelancong yang datang ke sesebuah negara itu berasa selesa serta dapat menikmati keindahan negara tersebut dengan tenang dan aman.
Di negara Malaysia ini, penjagaan alam sekitar juga merupakan satu cabaran untuk negara pada masa kini dek kerana pembangunan dan kemajuan negara yang semakin pesat membangun. Kebersihan merupakan imej bagi sesebuah negara kerana pelancong yang datang pasti akan bercerita mengenai kebersihan sesebuah negara itu apabila mereka kembali ke tempat asal mereka.
Oleh itu, seluruh rakyat di negara itu perlulah prihatin dan bertanggungjawab terhadap kebersihan di setiap kawasan agar terpelihara dan sentiasa bersih daripada sebarang kekotoran yang boleh merosakkan imej negara dan membuat para pelancong berasa tidak selesa. Sehubungan dengan itu, keindahahan alam semula jadi serta udara yang segar perlu di perlihara agar dapat menarik para pelancong untuk datang ke negara ini dan membuat pelancong berasa selesa dan gembira ketika datang melancong ke negara yang bersih dan terjaga.
4.1.5 Halangan seperti kejatuhan mata wang Ringgit Malaysia
Negara Malaysia dikejutkan dengan kejatuhan mata wang Ringgit Malaysia atau susut nilai mata wang Ringgit Malaysia sekitar bulan Mac 2016 yang agak membimbangkan. Berikutan itu telah menyebabkan ramai warga Malaysia yang telah merancang untuk bercuti ke luar negara telah menangguhkan sementara waktu berikut kenaikan mata wang asing yang agak tinggi. Ianya sedikit sebanyak telah menjejaskan ekonomi agensi-agensi pelancongan yang telah menempah segala penyediaan di luar negara. Dengan pembatalan banyak tempahan itu juga telah mengakibatkan sedikit kerugian bagi agensi-agensi pelancongan yang ada di Malaysia ini.
Namun, halangan seperti ini juga boleh membawa kepada kemasukan pelancong asing ke dalam negara kerana Ringgit Malaysia jatuh dengan begitu rendah, maka pelancong asing boleh mengambil kesempatan sebegini untuk datang melawat Malaysia. Walaubagaimana pun, senario begini juga dikhuatiri oleh sesetengah pihak kerana dilihat berlaku aliran tunai Ringgit Malaysia yang begitu banyak dah ianya seakan tidak begitu membantu perkembangan ekonomi negara Malaysia. Pihak Bank Negara perlu mengawal pengeluaran aliran tunai agar kestabilan ekonomi negara dapat dipulihkan dan dapat dibangunkan semula.
4.1.6   Halangan seperti kebimbangan masyarakat berikutan banyak kes kemalangan udara yang terjadi baru-baru ini yang melibatkan Syarikat Penerbangan Malaysia iaitu Malaysia Airlines System (MAS).
Rentetan kejadian kemalangan udara yang sering berlaku baru-baru ini telah membantutkan para pelancong dalam mahupun luar negara daripada keluar untuk melancong. Semua orang seakan fobia untuk menaikki kapal terbang kerana khuatir akan turut terlibat dalam kemalangan udara seterusnya. Namun, dalam kes ini , amat sukar untuk kita jangkakan kerana semua itu merupakan takdir dan ketentuan Allah. Kita hanya mampu berdoa agar perjalanan sepanjang lawatan melancong itu selamat pergi dan balik.
4.1.6   Halangan seperti berlaku peperangan di luar negara yang boleh mengancam nyawa para pelancong.
Setiap negara mempunyai krisis negara masing-masing. Terdapat negara yang sememangnya sering berlaku peperangan yang tidak pernah aman dan sangat membimbangkan sekiranya para pelancong tidak begitu hati-hati ketika melawat negara tersebut. Para pelancong yang ingin membuat lawatan juga kadang-kala terpaksa membatalkan niat untuk mengadakan lawatan sekiranya tiba-tiba keadaan keselamatan yang sangat membimbangkan untuk sesebuah negara tersebut.
Sebagai contoh seperti negara Turki yang tiba-tiba sahaja digemparkan dengan rusuhan dan peperangan, walhal sebelum ini rata-rata rakyat Malaysia begitu gemar melancong ke negara yang penuh dengan sejarah Islam nya yang tersendiri. Namun, disebakan kes itu maka rakyat Malaysia terpaksa menangguhkan lawatan mereka ke sana demi keselamatan masing-masing. Halangan ini juga telah menyebabkan kerugian kepada agensi pelancongan dan turut menjatuhkan pembangunan ekonomi negara tersebut.
4.1.7   Halangan seperti bencana alam sememangnya sukar untuk dijangka dan diramalkan bagi mereka yang ingin melancong.
Negara Malaysia bukan la seperti negara empat musim seperti negara di Eropah, namun bencana alam seperti banjir, kemarau, fenomena angin ribu serta air pasang, tanah runtuh dan sebagainya sedikit sebanyak agak menjejaskan industri pelancongan dalam jangka waktu tersebut. Ini boleh menyebabkan pelancong untuk tidak pergi ke sesebuah tempat itu berikutan bencana alam yang terjadi.
Malaysia begitu tekenal dengan bencana alam seperti banjir yang kadang-kala agak teruk sehingga turut menjejaskan kehidupan rakyat setempat. Maka, sekiranya berlaku bencana alam seperti ini yang tidak dapat dielakkan boleh menganggu pembangunan ekonomi negara berikutan keadaan berkenaan. Semua perkhidmatan yang terlibat secara langsung dalam industri pelanconan juga turut terjejas seperti tempat penginapan, pengangkutan, kedai-kedai makan dan sebagainya.
4.2 Halangan dan Cabaran yang datang daripada pelancong asing
4.2.1.  Negara Malaysia sangat terkenal dengan pelbagai budaya, adat resam, serta kepercayaan yang berlainan mengikut sesuatu bangsa dan agama.
Pelancong yang datang ke dalam negara ini untuk melawat Malaysia bukanlah begitu mengetahui tentang segala budaya, adat resam, kepercayaan dan pantang larang sesebuah kaum mahupun sesuatu tmpat itu. Oleh yang demikian, adakalanya pelancong yang datang telah membuat perkara-perkara yang terlarang serta yang boleh membangkitkan kemarahan penduduk tempatan. Cabaran seperti ini dilihat perlu ditangani dengan berkhemah agar tiada mana-mana pihak yang berasa terancam dan mendapat susah di kemudian hari. Sungguhpun begitu, masyakarat yang melihat perkara-perkara yang tidak elok di lakukan oleh para pelancong perlulah memberitahu tentang pantang-larang serta peraturan sesebuah tempat itu. Masyarakat setempat juga tidak boleh memarahi para pelancong dan menganggap mereka faham akan kepercayaan dan adat resam sesebuah masyarakat tempat bekenaan.
Sebagai contoh, kelakuan tidak bermoral bagi masyarakat di Malaysia ini yang telah dilakukan oleh pelancong asing telah menimbulkan kemarahan penduduk setempat di mana mereka bergambar tanpa mengenakan pakaian langsung di atas puncak Gunung Kinabalu pada 30 Mei 2015. Ekoran kejadian itu, selang beberapa hari kemudian, kawasan Gunung Kinabalu itu telah berlaku gempa bumi yang telah merosakkan beberapa struktur gunung tersebut dan telah menyebabkan kematian. Sehubungan kejadian itu, masyarakat setempat percaya bahawa kejadian gempa yang berlaku itu disebabkan oleh ‘kemarahan semangat gunung’ tersebut terhadap perlakuan tidak senonoh yang dilakukan oleh para pelancong tersebut. Masyarakat setempat yang menganggap Gunung Kinabalu sebagai tempat yang suci bagi mereka telah pon dicemari dek kerana pelancong asing yang tidak menghormati kepercayaan peduduk tempatan. Terdapat satu lagi kes dimana pelancong warga Australia yang tidak menghormati negara Malaysia ini dengan memakai seluar dalam bercorak Jalur Gemilang. Pelancong asing yang sedang dalam keadaan separa sedar kemungkinan mabuk ketika menyaksikan Perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) yang telah diadakan di Litar Sepang pada 3 Oktober 2016. Berikutan kejadian-kejadian tidak menghormati kepekaan masyarakat setempat dan sesebuah negara, sedikit sebanyak telah menjejaskan imej negara Malaysia atas tindakan yang telah diambil oleh para pelancong tersebut.
Perkara-perkara sedemikian merupakan cabaran bagi sesebuah negara yang mementingkan industri pelancongan sekiranya para pelancong tidak peka atau sengaja tidak mehu memahami keadaan pendudukan setempat. Namun begitu, masyarakat perlu peka terhadap peraturan dan pantang larang di kawasan masing-masing agar para pelancong peka terhadap perkara tersebut dan mengelakkan berlaku salah faham antara para pelancong luar dengan masyarakat setempat. Papan-papan tanda sebarang larangan perlu dibuat secara dwi bahasa agar mereka memahami segala apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di sesuatu tempat berkenaan. Kemungkinan dengan kaedah ini dapat memberitahu para pelancong asing secara tidak langsung tentang pantang-larang serta kepercayaan sesuatu tempat dan sesebuah kaum itu.

5. Sistem Sokongan oleh pihak kerajaan dan swasta yang ditawarkan untuk pembangunan industri pelancongan.
Pihak kerajaan dan pihak swasta adalah antara yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam membantu mengembangkan industri pelancongan di Malaysia. Terutamanya pihak kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam merancang segala-galanya samaada daripada segi acara-acara yang perlu dilakukan, promosi-promosi segala produk pelancongan yang ada, peruntukan dana yang diperlukan untuk membangunkan prasarana yang melibatkan industri pelancongan serta berbagai-bagai lagi perkara yang berkaintan demi membangunkan industri pelancongan yang dapat membantu menjana pendapatan negara serta mempertingkat ekonomi negara. Peranan masyarakat setempat juga amat penting dalam membantu pihak-pihak terbabit bagi menjayakan program-program yang dibuat oleh kerajaan serta menjadi tulang belakang kepada para pengusaha industri pelancongan agar sama-sama dapat menjaga imej negara di mata dunia.
5.1 Peranan Pihak Kerajaan
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) yang telah ditukarkan nama pada 15 Mei 2013 ini merupakan wakil kerajaan yang beperanan penting dalam segala perihal yang membabitkan industri pelancongan. Justeru itu, pihak kerajaan perlu berusaha dalam mempelbagaikan produk pelancongan di dalam negara agar tidak bergantung pada yang sedia ada sahaja. Pelbagai aktiviti juga telah diadakan oleh kerajaan dan bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan demi menarik pelancong luar untuk datang ke Malaysia ini. Sebagai contoh, Malaysia telah mengadakan aktiviti sukan bertaraf antarabangsa yang menglibatkan atlet-atlet dari luar negara seperti Formula One (F1) dan Le Tour De Langkawi. Ianya secara tidak langsung dapat memperkenalkan Malaysia di mata dunia bahawa Malaysia juga mampu untuk mengadakan aktiviti yang bertaraf antarabangsa dan maju dalam industri pelancongan. Dengan acara seperti ini dapat menarik pelancong luar untuk datang ke negara Malaysia tanpa mengikut musim-musim tertentu.
            Malaysia juga kaya dengan khazanah alam semula jadi, dimana terdapat banyak hutan-hutan simpan yang menarik untuk dilawati oleh pelancong. Kerajaan juga telah banyak membantu dalam memajukan serta membangunkan eko pelancongan tersebut seperti Taman Negara Belum dan Taman Negara Kinabalu yang mana telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Selain itu, pihak kerajaan juga banyak membantu dalam menawarkan pelbagai kursus untuk mereka yang terlibat secara langsung dalam industri pelancongan ini seperti sektor pengangkutan, perkhidmatan, penginapan dan sebagainya. Kerajaan juga menyokong pihak-pihak yang ingin membuat program-program yang melibatkan industri pelancongan seperti member bantuan dana, membuat promosi, penyediaan kemudahan dan sebagainya.
5.2 Peranan Pihak Swasta
Pihak swasta juga memainkan peranan penting dalam membangunkan industri pelancongan di Malaysia. Penglibatan pihak-pihak swasta dilihat dapat membantu pihak kerajaan dalam kerjasama untuk membuat sesebuah acara yang berkaitan dengan industri pelancongan. Selain daripada matlamat pihak swasta untuk mendatangkan keuntungan terhadap perniagaan mereka dalam memajukan industri pelancongan, pihak swasta juga perlu sama-sama sepakat dalam menacapai matlamat dan seruan kerajaan dalam membangunkan industri pelancongan negara. Pihak swasta yang terlibat dalam memberikan perkhidmatan seperti pengangkutan, penginapan, agensi-agensi pelancongan dan yang berkaitan perlu memastikan agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelancong. Pengusaha pengangkutan perlu memastikan kenderaan yang digunakan sentiasa dalam keadaan baik dan selamat. Mereka juga tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan sebarang tambang pengangkutan yang telah ditetapkan. Begitu juga harga bagi penginapan dan perkhidmatan yang lain, pihak swasta perlu menyelaraskan harga dengan berpatutan dan seimbang untuk semua pelancong yang membeli dan menggunakan perkhidmatan mereka.
            Selain daripada itu juga, peranan pihak swasta yang berkaitan iaitu syarikat-syarikat penerbangan seperti Air Asia, Malindo Air, dan Fire Fly, amat penting dalam mencapai matlamat untuk membangunkan industri pelancongan bagi negara ini. Syarikat-syarikat berkenaan seringkali mengadakan promosi-promosi harga tambang murah bagi menggalakkan pelancong asing untuk datang ke Malaysia. Iklan-iklan yang menarik mengenai Malaysia juga boleh diletakkan di badan kapal terbang tersebut yang mana secara tidak langsung dapat membantu mempromosikan Malaysia walau dimana jua mereka berada.

6. Langkah-langkah untuk mendorong dan membangunkan industri pelancongan.
Demi memastikan industri pelancongan sentiasa berjalan seperti biasa dan sentiasa dapat membantu membangunkan ekonomi negara serta menjana pendapatan negara, semua pihak perlu perihatin dan sama-sama menjaga keindahan dalam negara agar sentiasa mendapat perhatian di mata luar. Baik daripada pihak kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung perlu peka terhadap semua sektor yang melibatkan industri pelancongan.
6.1 Memelihara tempat-tempat bersejarah dan peninggalan sejak dari zaman dahulu.
Negara Malaysia sangat terkenal dengan pelbagai tempat peninggalan sejarah sejak daripada zaman dahulu lagi, terdapat banyak tempat yang dapat di kunjungi untu melihat sejarah dalam negara Malaysia. Maka dengan itu, pihak kerajaan dan pihak-pihak yang terlibat juga masyarakat setempat perlu memastikan tempat-tempat seperti Muzium-muzium yang banyak peninggalan sejarah, bangunan-bangunan bersejarah, tempat kesenian dan kebudayaan ini terjaga dan dipelihara dengan baik. Tempat-tempat bersejarah seperti ini amat diminati oleh pelancong asing yang gemarkan kisah sejarah, dengan itu segala prasarana serta kelengkapan di tempat begini perlu dijaga agar sentiasa terpelihara dan sentiasa dalam keadaan baik.
6.2 Kemudahan penginapan yang selesa dan bersih
Apabila seseorang pelancong itu pergi melancong, faktor keselesaan tempat mereka menginap adalah sangat penting. Oleh itu, amat penting bagi pengusaha-pengusaha hotel, chalet, resot mahupun homestay untuk memastikan keadaan tempat penginapan berada dalam keadaan baik dan bersih terutama daripada segi bekalan air, bekalan elektrik, kemudaan tandas, penyediaan makanan dan minuman, kawasan persekitaran yang bersih dan selesa agar para pelancong dapat menginap dengan selesa.
Selain itu juga, ianya membolehkan pelancong agar dapat bermalam lebih lama dan ianya secara tidak langsung dapat menguntungkan para pengusaha penginapan tersebut. Keselesaan para penginap atau pelancong perlu dititik beratkan agar kepuasan para pelancong dapat dicapai kerana ianya juga merupakan imej negara kita di mata pelancong asing.
6.3 Kemudahan dan prasarana pengangkutan awam yang lengkap.
Pengangkutan awam sangat penting dalam sesebuah negara itu kerana kebanyakkan para pelancong yang datang sememangnya mengharapkan sistem pengangkutan awam berbanding yang mahu menyewa dan memandu sendiri di negara yang asing bagi mereka yang memudahkan mereka untuk pergi ke sesebuah tempat tarikan tersebut.
Maka, kerajaan perlu perihatin terhadap kelengkapan serta prasarana pengangkutan awam yang ada di negara ini demi keselesaan para pelancong yang datang ke negara ini. Ini juga secara tidak langsung membantu tempat-tempat tarikan yang ada dalam negara ini untuk dikunjungi oleh para pelancong yang datang melancong ke negara ini. Selain daripada harga tambang yang berpatutan, jadual perjalanan pengangkutan yang tepat dan terancang serta pemanduan yang selamat perlu dititik beratkan bagi memudahkan pelancong untuk merancang perjalanan mereka dan berasa selamat serta senang untuk mengunakan perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia.
6.4 Maklumat lengkap mengenai sesebuah destinasi pelancongan
Pihak kerajaan serta pihak yang terlibat dengan sesebuah destinasi pelancongan itu perlulah menyediakan kelengkapan daripada segi maklumat yang tepat dan mudah untuk didapati oleh pelancong. Contoh dengan membuat iklan menggunakan media cetak seperti di majalah, surat khabar, papan iklan di tepi jalan, brosure yang mudah di dapati oleh pelancong dan sebagai nya.
Juga iklan di media elektronik seperti di dalam radio, televisyen, membuat website atau blog yang mudah dicari oleh pelancong yang ingin mengetahui tentang maklumat sesebuah tempat tersebut. Iklan-iklan berikut perlulah sentiasa di kemaskini agar para pelancong dapat mengetahui maklumat semasa seperti harga masuk ke tempat berkenaan, apa yang menarik tentang sesebuah tempat itu, bagaimana mahu ke tempat itu dan macam-macam info lagi yang perlu diterangkan dengan jelas bagi memudahkan pelancong untuk mendapatkan maklumat yang tepat. Ini semua merupakan salah satu daripada cara untuk mempromosikan sesebuah tempat menarik untuk dilawati oleh pelancong khususnya pelancong asing.
6.5 Mengadakan aktiviti dan acara kebudayaan yang ada di Malaysia
Pihak kerajan perlu mengadakan pelbagai aktiviti yang dapat memperkenalkan kebudayaan, kesenian, cara hidup serta adat resam pelbagai bangsa di Malaysia ini untuk menarik pelancong asing supaya mereka mengetahui bahawa negara Malaysia ini mempunyai kepelbagaian kaum serta kebudayaan yang sentiasa dijaga dan dipelihara. Oleh itu, acara-acara seperti Pesta Floria iaitu pesta bunga di Putrajaya yang diadakan pada setiap tahun, Pesta kebudyaaan pelbagai bangsa, Program Citra Warna serta Program Tahun Melawat Malaysia antara acara-acara yang boleh menarik kedatangan pelancong luar untuk datang ke Malaysia.

Kesimpulan
Negara Malaysia tidak lagi dilihat sebagai negara yang agak ketinggalan daripada segi pelbagai kemajuan, malah kini Malaysia semakin di kenali ramai di mata dunia dan terkenal daripada segi sektor pelancongan yang semakin berkembang, acara sukan bertaraf antarabangsa yang semakin dikenali dimata dunia, kekayaan alam semulajadi yang masih dikekalkan, keindahan dan keunikan kepelbagaian kebudayaan, bangsa dan agama turut menjadikan Malaysia sebuah negara yang berbeza daripada negara lain. Industri pelancongan negara perlu lebih diberi perhatian kerana semakin hari Malaysia semakin dikenali sebagai salah sebuah negara yang wajib dilawati dan mempunyai banyak destinasi yang menarik yang boleh memukau dan membuat para pelancong tertarik untuk datang ke Malaysia lagi dan lagi. Pihak-pihak yang bertanggungjawan samaada sektor kerajaan, sektor swasta mahupun rakyat tempatan perlu saling bekerjasama bagi memastikan segala yang berkaitan dengan industri pelancongan sentiasa dipelihara, diperbaikki dan di naik taraf dari semasa ke semasa supaya dapat mengekalkan kepuasan para pelancong yang datang ke Malaysia. Ianya juga merupakan cermin negara di mata dunia. Sesuailah dengan slogan ‘Truly Asia’ yang menjadi tema bagi memperkenalkan Malaysia di mata dunia. Semoga negara Malaysia akan terus mengungguli industri pelancongan setaraf dengan destinasi yang terbaik didunia yang perlu dilawati.


Rujukan

Industri Pelancongan : Apa Itu Industri Pelancongan. Diakses pada 8 November, 2016, daripada

Industri Pelancongan di Malaysia. Diakses pada 10 November, 2016, daripada
Industri Pelancongan di ASEAN : Satu Cabaran. Diakses pada 11 November, 2016, daripada

Kepentingan Industri Pelancongan Kepada Negara. Diakses pada 11 November, 2016. daripada

INDUSTRI PELANCONGAN KESIHATAN DI MALAYSIA. Diakses pada 12 November, 2016, daripada
12 Jun 2015. Cabaran industri pelancongan negara. M. JASNI MAJED. Diakses pada 12 November 2016, daripada
04 November 2015. Merancakkan sektor pelancongan negara. ROHAMI SHAFIE. Diakses pada 12 November, 2016, daripada

PENGERTIAN INDUSTRI DAN PERINDUSTRIAN. Diakses pada 15 November, 2016, daripada

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENDORONG DAN MEMBANGUNKAN PELANCONGAN. Diakses pada 15 November, 2016, daripada



No comments:

Post a Comment